(Article is in Malay Language)
Thursday, 3 May 2018, BERITA Mediacorp
Masyarakat Melayu malas? Pakar arkeologi dedahkan kajiannya
BERITAMediacorp: Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang rajin dan aktif sejak 700 tahun lalu dengan tanggungjawab dan peranan yang berbeza – dari bidang pertukangan, hingga ke perdagangan dan ilmu perakaunan.
Itulah antara hasil kajian Profesor John N. Miksic dari Universiti Nasional Singapura (NUS) yang menemui 300,000 bukti arkeologi yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu.
Bahan bukti ini dirakamkan dalam buku ilmiah,‘Singapore – The Silk Road of the Sea, 1300-1800’, yang memenangi Hadiah Sejarah Singapura pada Januari lalu.
BERITAMediacorp bertemu dengan pakar arkeologi ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang penyelidikannya itu.
MASYARAKAT MELAYU TERDAHULU MAHIR DALAM PELBAGAI BIDANG
Menyingkap semula sejarah lama Singapura, mungkin ramai yang masih menggambarkannya sebagai sebuah ‘kampung nelayan’ yang mundur.
Namun, kisah Singapura bermula jauh sebelum Sir Stamford Raffles menjejakkan kaki di sini, pada tahun 1819.
Profesor Miksic membentangkan sejarah Singapura dalam konteks perdagangan maritim jarak jauh antara tahun 1300 hingga 1800, dengan adanya bidang-bidang pekerjaan yang kurang diketahui tentang masyarakat Melayu.
“Jadi mereka membuat gerabak sendiri, mereka juga membuat barang-barang dari logam, mereka mengolah tembaga untuk membuat kail untuk tangkap ikan, mereka juga membuat barang-barang dari besi, mereka juga membawa barang-barang seperti keris dan tombak, senjata,” kongsi penyelidik itu yang mengambil hampir 10 tahun untuk menyiapkan buku ilmiah tersebut.
Beliau turut berkongsi bahawa dapatan penting hasil galian yang dijalankan beliau bersama pasukan pengkajinya selama hampir 20 tahun di 10 lokasi yang berbeza.
BUKTI SEJARAH PECAHKAN MITOS ‘MELAYU MALAS’
Menurutnya lagi serpihan tembikar yang ditemuinya serta logam dan batu-bata lama menunjukkan gambaran yang penting tentang masyarakat Melayu – bahawa ia menggambarkan hasil pertukangan bangunan yang canggih ketika zaman tersebut.
Bahkan menurut Profesor Miksic, bukti-bukti ini juga antara lain menunjukkan dengan jelas kerajinan masyarakat Melayu terdahulu, dan secara tidak langsung memecahkan mitos dan tanggapan bahawa masyarakat Melayu terdahulu malas.
“Orang Melayu memang dari dulu sudah terkenal sebagai orang awal yang membuat kota, yang mendirikan bandar menjadikan satu sistem perhitungan untuk perdagangan.
“Orang-orang Portugis pertama datang ke Brunei, mereka hairan sekali melihat sistem yang dipakai orang-orang akauntan di Brunei untuk menghitung perdagangan. Jadi mereka sudah pandai sekali orang-orang Melayu,” jelasnya.
PENTING PELAJARI PERINTIS SPURA SEBELUM 200 TAHUN
Dalam memperingati 200 Tahun Singapura diasaskan tahun depan, Profesor Miksic berkata amat penting untuk mengenali sejarah Singapura seawal abad ke-14.
“Jadi ini merupakan satu kesempatan untuk kita melihat lebih dahulu lagi, bukan hanya melihat 200 tahun, tetapi melihat 200 tahun itu sebagai satu tempoh dalam sejarah Singapura.
“Orang Inggeris bukan orang yang utama yang bertempat di sini yang memainkan peranan utama, orang Melayu, Bugis, Jawa, Minangkabau dan juga orang-orang Cina yang ada di Selat Melaka orang-orang India yang sudah lama berdagang di sini,” tambahnya lagi.
HANG TUAH – MITOS ATAU BUKTI SEJARAH MELAYU?
Menyentuh tentang individu signifikan daripada masyarakat Melayu, Profesor Miksic turut mengambil perhatian tentang teks klasik lama seperti Sulalatussalatin, atau Sejarah Melayu.
Menurutnya beberapa bukti sejarah yang ditemuinya sebenarnya sejajar dengan apa yang dirakam di dalam teks tersebut dan teks klasik yang lainnya.
Ditanya sama ada Hang Tuah merupakan hanya mitos Melayu atau individu sebenar, ini pendapatnya:
“Saya yakin bahawa ada seorang laksamana yang wataknya, keperibadiannya seperti
Hang Tuah yang disebut dalam sejarah Melayu kerana ada seorang laksamana yang disebutkan juga dari sumber dari Jepun dari abad-15, mahupun Portugis.
“Namanya tidak pernah disebutkan, tapi wataknya, keperibadiannya bahawa perwira yang juga pandai, dan mempunyai bakat untuk bertemu dengan orang lain, itu semunya terbukti dengan sumber-sumber lain, jadi pasti ada orang yang seperti Hang Tuah.
“Namanya tidak penting, tapi orang yang sepertinya, yang jadi laksamana, yang juga dasar kegiatannya di Singapura, tersebut dalam Sejarah Melayu juga, dan kami dapatkan banyak sekali bukti dari arkeologi bahawa ada satu pelabuhan dengan armada laut yang cukup besar di sini pada zaman Melaka,” kongsinya bersama BERITAMediacorp.
Atas kajiannya yang terperincinya itu, Profesor Miksic menang anugerah Hadiah Sejarah Singapura, bernilai $50,000 yang diadakan buat julung-julung kalinya, tahun ini.
– BERITAMediacorp/ur
by