Press "Enter" to skip to content

MENDAKI Commemorative Book: Malay Community have shown progress in education; middle-class groups urged to do more to help

(Article is in Malay Language)

Thursday, 10 October 2019, BERITA Mediacorp

Buku Peringatan MENDAKI: Masyarakat Melayu sudah tunjukkan pendakian dalam pendidikan; lebih ramai golongan pertengahan digesa tampil hulur bantuan

UMMU RABBISYFINA ABDUL HAMID

SINGAPURA: Sepanjang 37 tahun sejak penubuhan Yayasan MENDAKI, badan tersebut sudah mengatur pelbagai bentuk program dan bantuan bagi mempertingkatkan masyarakat Melayu di sini.

Di sebalik setiap bantuan yang dihulurkan itu, soal pendidikan masyarakat Melayu tidak pernah terlepas daripada menjadi fokus utama MENDAKI.

Dalam merakam perjalanan usaha badan bantu diri itu, buku peringatan “Melayari Pembangunan Pendidikan: MENDAKI dan masyarakat Melayu” dilancarkan oleh Presiden Halimah Yacob, sempena Bulan Raikan Ilmu baru-baru ini.

Semalam (9 Okt), satu sesi dialog dianjurkan yang membincangkan sekitar buku tersebut, yang dihadiri para pemimpin masyarakat, golongan akademik dan belia.

Turut hadir selaku tetamu terhormat ialah Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Faishal Ibrahim.

MERAKAM PERJALANAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

Buku setebal 194 mukasurat itu ditulis Profesor Madya Noor Aisha Abdul Rahman, seorang profesor dari Jabatan Pengajian Melayu NUS dan suaminya, Encik Idris Rashid Khan Surattee.

Mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk menulisnya, buku tersebut dimulakan dengan memberikan konteks sejarah sosial tentang pembangunan awal pendidikan dan kesannya terhadap masyarakat.

Memberikan perspektif kritis, ia juga menyingkap kehadiran golongan kelas pertengahan dalam bidang pendidikan yang turut memberi kesan terhadap kepimpinan MENDAKI.

KELAS PERTENGAHAN & CITA SEMPURNA

Topik sekitar kelas dan kaitannya terhadap pendidikan mendapat perhatian utama dalam sesi dialog yang berlangsung sekitar sejam semalam.

Barisan panelnya terdiri daripada Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Yaacob Ibrahim, yang juga mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Mukhlis Abu Bakar, Profesor Madya dari Kumpulan Akademik Bahasa & Budaya Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE), serta graduan sarjana dari Jabatan Pengajian Melayu Cik Hazirah Mohamad.

“Tentang kelas pertengahan, bagaimana peranan mereka begitu penting. Kalau kita renung kembali dari segi sejarah MENDAKI, kelas pertengahan yang datang bersama untuk memikirkan apa yang harus dilakukan oleh masyarakat Melayu dengan itu wujudnya MENDAKI. Buat masa sekarang kita juga ada kelas pertengahan yang berkeupayaan dan bagaimana mereka boleh tampil ke hadapan untuk menolong masyarakat kita melalui MENDAKI

“Saya rasa ini adalah satu isu yang penting kerana pembahagian kelas yang berlaku di masyarakat lain, kalau ia berlaku kepada kita, akan ada kerugian yang besar,” tekan Dr Yaacob, yang merupakan mantan Pengerusi MENDAKI.

Bagi Encik Idris sendiri, bagi sebuah masyarakat untuk mencapai Cita Sempurna menerusi pendidikan, golongan intelektual Melayu perlu ke depan untuk mencorak dan memandu masyarakat.

“Saya rasa isu kritikal yang diutarakan dalam buku itu ialah bagaimana golongan intelektual Melayu perlu sensitif terhadap perubahan landskap pelajaran, landskap ekonomi dan landskap masyarakat itu sendiri, supaya mereka memanfaatkan dasar-dasar yang diutarakan oleh Pemerintah. Itu yang penting.

“Kalau mereka tidak dapat rasakan kepentingan itu, barangkali peluang-peluang yang diberikan itu akan terlepas,” tekan Encik Idris.

MENGENAL PASTI JURANG

Masalah jurang dalam isu pendidikan turut dibincangkan dalam sesi tersebut.

Memandangkan pokok masalah yang sering berkait dengan pendidikan seringkali bersangkut dengan faktor kelas, Cik Hazirah mencadangkan agar bantuan seharusnya diberikan kepada golongan yang memerlukan berdasarkan faktor sosio-ekonomi mereka, dan bukan menerusi pendekatan etnik atau kaum.

Dengan cara ini, masalah akan diatasi di peringkat nasional sepenuhnya dan masyarakat juga dijauhi daripada stereotaip “masalah Melayu”.

Mengulas kepada pihak media, Dr Faishal berkata wacana seperti itu digalakkan dalam membangunkan huraian masa depan bagi masyarakat.

“Apa yang menarik pada saya adalah peluang-peluang yang sedia ada pada masa lampau sehingga ke hari ini, bagaimana masyarakat Singapura membangun dan bagaimana masyarakat Melayu membangun dan juga dalam aspek pembangunan MENDAKI, di mana pada setiap detik pembangunan, ada peluang-peluang yang sedia ada, bagaimana kita mengambil peluang-peluang ini untuk membangun masyarakat kita,” kongsinya.

Buku “Melayari Pembangunan Pendidikan: MENDAKI dan Melayu” dijual dengan harga $100 setiap satu dan hasilnya akan disalurkan kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI.

– BERITAmediacorp/ur

by Ummu Rabbisyfina Abdul Hamid for BERITAMediacorp

 

Comments are closed, but trackbacks and pingbacks are open.